Monday, October 5, 2009

Mayat 30 tahun ditemui tak reput

Oleh Adha Ghazali

Jenazah misteri kejutkan tiga penggali kubur

KANGAR: Tiga penggali kubur tergamam menemui mayat dipercayai berusia lebih 30 tahun dalam keadaan elok dan sempurna, ketika menggali liang lahad untuk tujuan pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Tok Paduka, di sini, semalam.


Mayat lelaki tidak dikenali itu ditemui jam 11.30 pagi sebaik ketiga-tiga penggali kubur berkenaan menggali liang lahad terbabit pada kedalaman 1.5 meter.

Berdasarkan maklumat, mayat lelaki itu bukan saja masih elok dari segi fizikal, malah kain kafan jenazah juga masih sempurna, kecuali sedikit kotor akibat diselaputi lumpur.

Bagaimanapun, kayu keranda yang digunakan untuk melindungi mayat sudah reput dimamah usia.

Penggali kubur, Desa Sulaiman, 74, berkata penemuan jenazah itu mengejutkan kerana sepanjang pengetahuannya liang lahad yang digali itu memang kosong.

Katanya, keadaan jenazah itu tidak berbau dan masih sempurna dengan kulit serta isi yang terlekat pada tubuh jarang dilihat, apatah lagi dengan usia jenazah yang dipercayai mencecah puluhan tahun.

"Saya 30 tahun menggali kubur di sini, tetapi tidak pernah menemui kejadian sedemikian, walaupun pernah mendengar cerita mengenainya sebelum ini.

"Sepanjang pengetahuan saya, mayat yang masih elok dan sempurna walaupun berusia ratusan tahun kebiasaannya milik orang alim kerana jenazah mereka dilindungi Tuhan berikutan amalan baik yang dilakukan sepanjang hayat," katanya.

Difahamkan, penemuan mayat itu menyebabkan urusan pengebumian jenazah seorang wanita berusia 53 tahun yang dijadualkan sebelum Zuhur, ditangguhkan beberapa jam untuk memberi laluan kepada urusan pengebumian semula jenazah yang ditemui itu.

Desa dan dua lagi rakannya terpaksa menguruskan pengebumian semula jenazah terbabit di sebelah liang lahad yang digali, sebelum meneruskan urusan penggalian liang lahad baru untuk pengebumian jenazah wanita yang baru meninggal itu.

Rakannya, Mohd Hafiz Abdan, 20, berkata beliau tergamam melihat wajah serta tubuh mayat yang masih elok seperti baru meninggal dunia ketika mengangkat mayat terbabit untuk dialihkan ke liang lahad baru.

"Saya sempat melihat keadaan susuk tubuh mayat berkenaan yang berkulit sawo matang, namun tidak berani menatapnya terlalu lama.

"Apa pun, penemuan mayat berkenaan bagi saya suatu misteri kerana jarang dilihat walaupun oleh penggali kubur," katanya.

http://www.bharian.com.my/05102009

Wednesday, September 16, 2009

Lima jari kiri hancur




ALOR SETAR - Lagi bahana main mercun bola.

Seorang remaja berusia 15 tahun yang bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini, Mohd. Luqman Abudin mungkin akan dipotong lima jarinya akibat terkena letupan mercun bola kelmarin.


Kejadian yang berlaku pukul 5 petang di Kampung Teloi Tua, Jalan Batu Tiga, Sik dekat sini itu disedari oleh ibu mangsa, Siti Zainab Che, 52, apabila anak bongsunya itu menangis dengan lima jari telah hancur.

Kata Siti Zainab, ketika kejadian dia sedang membasuh kain di bilik air tiba-tiba terkejut melihat anaknya mencarinya di situ dengan tangan berlumuran darah dan menangis.

"Saya lihat jarinya hancur, dia tidak menangis terlalu kuat ketika itu mungkin dia pun terkejut dan atas bantuan jiran, anak saya dibawa ke Hospital Sik," tambahnya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah semalam setelah dipindahkan untuk rawatan susulan.

Tambah Siti Zainab, anaknya sebelum itu ada mengatakan hendak membeli barang tetapi dia (Mohd. Luqman) tidak memberitahu barang apa yang hendak dibelinya.


Sunday, September 13, 2009

Budaya skinhead tak pernah mati



KUALA LUMPUR - Kelibat pengikut skinhead kembali dikesan terutamanya di beberapa kompleks beli-belah terkemuka sejak kebelakangan ini.


Di ibu kota contohnya, kehadiran anak-anak muda berpakaian santai dan berambut pendek ini boleh dilihat di sekitar kompleks beli-belah Pavilion, Jalan Bukit Bintang terutama pada hujung minggu atau sewaktu ada persembahan muzik underground.

Bagi seorang bekas pengikut, Mohd. Haris (bukan nama sebenar), kumpulan skinhead ada di setiap negeri.

"Mereka berkumpul di kelab malam, disko atau di tempat yang ada jual arak,'' katanya kepada Kosmo! Ahad ketika ditemui baru-baru ini.

Mohd. Haris, 28, pernah menjadi ahli kumpulan itu semasa menuntut di sebuah kolej swasta di Masai, Johor.

Dia tahu banyak perangai buruk skinhead, antaranya seks beramai-ramai serta paling ekstrem, membunuh sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan kumpulan mereka.

Kesan penglibatannya dalam kumpulan skinhead, Mohd. Haris mula menagih dadah seperti syabu.


Umpan goyang bikini



Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan FIRDAUS SAHAT

KUALA LUMPUR: Sepuluh Ramadan terakhir sepatutnya dimanfaatkan dengan memperbanyakkan ibadat pada waktu malam. Namun segelintir anak muda juga sibuk berjaga malam tetapi bukan untuk beribadat, sebaliknya menyertai pesta liar.



Kumpulan anak muda Melayu itu dikesan menghiburkan diri dalam ‘parti bikini’ di sebuah disko di ibu negara, malam kelmarin.

Wartawan Metro Ahad yang menyusup masuk ke parti itu untuk memastikan kesahihan maklumat diterima mengenai aktiviti liar dan lucah itu mendapati ia bukan sekadar gimik, tetapi benar-benar berlaku.

Seumpama kelab di luar negara yang kerap menampilkan tarian wanita separuh bogel kepada pengunjung, begitu juga situasi di disko itu.

Lima wanita berbikini ditampilkan dengan masing-masing mempamer tarian mengghairahkan di atas meja.

Dalam tempoh tertentu, seorang penari bergoyang di satu sudut menempatkan sebuah tiang dan seorang lagi meliuk lentok di kawasan DJ memutarkan lagu.

Pesta tidak bermoral itu terang-terangan tidak menghormati Ramadan dan melanggar syarat pemberian lesen operasi pusat hiburan.

Penganjuran parti berkenaan dikesan selepas munculnya iklan bertajuk ‘Bikini In The City Party’ (parti bikini di kota) yang diuar-uarkan hanya satu malam di laman mencari kenalan popular di Internet, Facebook.

Iklan memaparkan poster wanita berbikini itu disiarkan beberapa hari sebelum pesta berkenaan diadakan.

Berdasarkan maklumat di iklan itu, pengunjung wanita bukan saja tidak dikenakan bayaran, malah diberi minuman percuma jika hadir dengan memakai bikini.

Ternyata iklan itu berjaya mengumpan ramai ‘kaki disko’ menyertainya apabila 202 orang mengesahkan penyertaan mereka melalui Internet.

Sebelum menghadiri parti itu, wartawan Metro Ahad membuat penyamaran dengan menghubungi penganjurnya untuk membuat tempahan awal.

Dimaklumkan, parti bikini itu dibuka kepada sesiapa saja dan ia bukan pesta rahsia atau eksklusif kerana sesiapa bebas membuat tempahan.

Seperti dijadualkan dalam iklan itu, wartawan Metro Ahad menyusup masuk sekitar jam 11.30 malam kelmarin. Tiada bayaran masuk dikenakan dan pengunjung hanya perlu bayar jika menempah minuman.

Pemantauan mendapati beberapa kumpulan anak muda Melayu leka berhibur sambil meminum arak. Di atas meja mereka penuh dengan botol dan jag arak.

Masing-masing menanti kemunculan wanita berbikini seperti dijanjikan. Wartawan Metro Ahad diberitahu pelayan disko itu, parti tetap berjalan seperti dijanjikan tetapi lewat sedikit.

“Layanlah lagu dulu. Rileks abang... sekejap lagi muncullah (wanita memakai bikini). Nanti dia orang akan naik atas meja dan menari,” kata pelayan wanita berbangsa Melayu itu.

Ruang disko mulai padat apabila semakin ramai pengunjung datang. DJ pula bertanya jika ada pengunjung wanita yang hadir memakai bikini, tetapi tiada.

Kira-kira jam 11.45 malam di satu sudut, kelihatan beberapa wanita memakai bikini bersiap sedia untuk menghiburkan pengunjung.

Tepat jam 11.50 malam, dengan alunan lagu rancak dan pengumuman DJ, lima wanita terbabit naik ke atas meja dan mula mempamer tarian mengghairahkan mengikut alunan lagu sambil pengunjung tidak henti bersorak.

Umpama pertunjukan fesyen, pengunjung bebas mengambil gambar atau video sama ada menggunakan telefon atau kamera.

Tidak lama kemudian lima wanita itu berpecah dengan dua daripada mereka menari di beberapa sudut disko terbabit. Seorang di kawasan DJ memutarkan lagu dan seorang lagi di kawasan khas yang menempatkan sebatang tiang.

Limpahan cahaya menunjukkan dengan jelas liuk lentuk wanita berbikini itu menari ghairah dan sesekali membuat aksi terlampau.

Untuk tempoh 20 minit, disko itu hangat dengan aksi wanita berbikini sebelum mereka beredar meninggalkan pengunjung yang mahu persembahan mereka diteruskan.

Bagaimanapun, DJ memberitahu akan ada lagi kejutan. Selepas memutar beberapa lagu, DJ terbabit naik ke atas meja dan meminta seorang lelaki secara sukarela naik ke atas meja diikuti tiga wanita, juga secara sukarela.

Sekali lagi pengunjung dihiburkan dengan tarian mengghairahkan apabila wanita terbabit diminta menggoda lelaki itu.

DJ mengumumkan wanita bergaya paling berahi akan dipilih pengunjung sebagai pemenang menerusi sorakan paling kuat. Pemenang dipilih menerima RM150.

Hiburan diteruskan kerana seperti dijadualkan pengunjung boleh bergembira sepuas-puasnya sehingga jam 3 pagi.

Wartawan Metro Ahad berkesempatan berbual dengan beberapa pengunjung dan ternyata mereka teruja dengan penampilan wanita berbikini itu.

Seorang pengunjung yang memperkenalkan dirinya sebagai Man berkata, sukar untuk melihat pesta seperti dilangsungkan itu.

“Apabila mengetahui menerusi Facebook, saya segera mendaftar bersama beberapa rakan. Bukan senang nak tengok wanita berbikini menari ghairah di atas meja.

“Memang saya seronok. Sambil minum (arak), tengok aksi ghairah perempuan pakai bikini,” katanya separuh mabuk.

Bagi Zam yang mendakwa dirinya eksekutif, dia sememangnya gemar berhibur dan kerap menyertai beberapa parti.

“Bulan puasa pun saya berparti dan parti seperti ini memang saya tunggu sangat. Minum (arak), ‘goyang-goyang kepala’, tengok awek bikini... seronok beb.

“Tak tahulah bila disko ini nak tunjuk lagi perempuan pakai bikini sebab dalam iklan beritahu satu malam ini saja,” katanya.

Zam berkata, lebih ‘gempak’ jika ada pengunjung wanita yang datang memakai bikini seperti diuar-uarkan di dalam iklan.

“Tapi tak nampak pula pengunjung wanita datang pakai bikini. Kalau ada, memang gempak beb!” katanya.


Wednesday, September 9, 2009

Heroin dalam sabun mandi dirampas

Oleh NORLIDA AKMAR IDROS
norlida.idros@kosmo.com.my



SHAH ALAM - Jika dilihat dengan mata kasar, tidak ada siapa pun sedar empat daripada tiga ketul sabun mandi jenama Fair Glow yang disembunyikan di dalam sebuah bagasi untuk dibawa masuk ke negara ini adalah ketulan mampat dadah jenis heroin.


Malah, bungkusan kecil heroin bergred tinggi yang dibentuk seakan-akan sabun menggunakan pembungkus sabun sebenar berwarna merah jambu itu juga sukar dikesan sekalipun dibelek beberapa kali.

Bagaimanapun, kecekapan sepasukan polis Jabatan Narkotik Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur membuat pemeriksaan terhadap setiap sabun di dalam bagasi milik seorang wanita warga Indonesia pada Sabtu lalu membongkar satu sindiket penyeludupan heroin bernilai hampir RM160,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir memberitahu, ketika sedang membuat pemerhatian terhadap penumpang yang baru tiba dari Bangalore, India kira-kira pukul 8 pagi Sabtu lalu itu, pihaknya mengesan wanita terbabit berada dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, wanita Indonesia terbabit kemudian ditahan dan dibawa ke mesin pengimbas bagasi namun tiada barang yang mencurigakan dikesan di dalam bagasi pakaiannya.


Buta akibat mercun bola jiran

Oleh OTHMAN YAHAYA
othman.yahaya@kosmo.com.my



SUNGAI PETANI - Seorang budak tujuh tahun, Mohd. Syafiq Zainuddin mungkin buta mata kirinya selepas terkena letupan mercun bola yang dipercayai dilempar oleh jirannya sendiri baru-baru ini.

Kejadian yang berlaku di kawasan perumahan Flat Paya Nahu 1 di sini itu merupakan kes mangsa letupan mercun bola yang pertama dilaporkan di Kedah.

Dalam kes terbaru, mercun itu dipercayai dilempar dari tingkat tiga oleh beberapa remaja sebelum meletup di tingkat bawah flat pada kira-kira pukul 8.30 malam Khamis lalu.

Pada waktu itu, Mohd. Syafiq yang juga murid Tahun Satu Sekolah Kebangsaan Taman Ria berjalan turun dari rumahnya di tingkat tiga flat berkenaan bersama adik perempuannya, Izzati, 6, untuk pergi ke kedai runcit di hujung blok tersebut.

Bapa mangsa, Zainuddin Che Teh, 39, masih ingat jeritan orang ramai memanggil namanya supaya turun ke bawah pada waktu dia sedang berehat bersama isteri, Bedah Awang Kecik, 38, dan dua lagi anak mereka selepas berbuka puasa.

"Saya bergegas turun dan pada waktu itu melihat Mohd. Syafiq berlumuran darah dan dikeliling orang ramai,'' katanya ketika ditemui di rumahnya semalam


Ahli Wanita UMNO dibunuh kejam - Perut terburai akibat ditikam bertubi-tubi

Oleh MANIRAH OTHMAN
manirah.othman@kosmo.com.my



HULU TERENGGANU - Bekas Ketua UMNO cawangan Felda Mengkawang dekat sini ditemui mati dengan ususnya perutnya terburai setelah ditikam bertubi-tubi oleh seorang perompak yang memecah masuk rumahnya sebelum melarikan sejumlah barang kemas di Felda Mengkawang petang semalam.



Kejadian dipercayai berlaku kurang setengah jam selepas mangsa bertandang ke rumah jirannya apabila dia didatangi perompak yang dengan kejam meragut barang kemas dan nyawanya. Dalam kejadian itu dia dipercayai cuba mempertahankan diri.

Ketika kejadian, mangsa, Asimah Abd. Rahman, 51, yang merupakan Pengerusi Gabungan Pergerakan Wanita UMNO Felda Wilayah Terengganu tinggal bersendirian kerana suaminya keluar bekerja.

Kejadian hanya disedari jirannya, Asmah Mat Adam, 45, yang datang ke rumahnya pada pukul 3 petang. Asmah hairan apabila salam yang diberi tidak bersambut.

Menurut Asmah, dia terus masuk ke ruang tamu rumah itu apabila mendapati pintu depan rumah mangsa terbuka dan televisyen terpasang.


 

About

Paparan di dalam blog ini adalah artikel-artikel yang dipetik dari berita-berita online sebagai koleksi. Semoga koleksi-koleksi ini sedikit sebanyak menyedarkan masyarakat kita tentang pentingnya keharmonian dalam masyarakat Islam terutama di kalangan Umat Melayu

Site Info

Slideshow

Loading...

My e-Scrap Book Copyright © 2009 Community is Designed by Bie